POKOK PUTAT (Barringtonia spp.) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Lecythidaceae yang tumbuh liar di negara kita Malaysia dan beberapa negara tropika yang lain. Pokok putat di negara kita sering dikaitkan dengan 'PUCUK PUTAT' yang dijadikan sebagai ulam jenis daun yang dimakan segar bersama-sama nasi, sambal belacan atau budu. Saya mula mengenali daun putat semasa pergi kesebuah restoran sewaktu makan tengahari di Bandar Hilir Melaka pada tahun 1980. Mula-mula memang tidak biasa dengan pucuk daun putat tetapi kini menjadi kegemaran untuk makan daun putat. Pembacaan dari beberapa sumber melaporkan terdapat lebih dari 40 spesis pokok putat tetapi hanya 6 spesis yang popular di Malaysia iaitu Putat Laut(Barringtonia asiatica), Putat Kampong (Barringtonia racemosa),Putat Air, Putat Darat, Putat Ayam dan Putat Sungai. Pokok Putat Kampong (Barringtonia racemosa) tumbuh dikawasan yang lembab atau tebing sungai di negara kita secara semulajadi. Pokok ini mampu tumbuh sehingga 20-25 meter dengan dahan merimbun dan pokok menegak. Daun putat berbentuk lonjong, panjang dan agak tebal dimana tepinya macam bergerigi kecil dan berwarna merah keunguan semasa muda bertukar kepada hijau kuat apabila matang. Pucuk putat yang muda dan lembut inilah yang dipetik untuk dijadikan ulam yang mempunyai rasa masam, kelat dan lemak. Bunga pokok putat mempunyai 4 kelopak dimana kudupnya berwarna ungu atau putih mengikut spesis. Buahnya mempunyai banyak bentuk seperti bentuk bulat, bulat bujur atau bersegi lapan dan sebagainya yang berwarna hijau terang ketika muda. Ukuran buah lingkungan 6-8 cm panjang dan 3-5 cm lebar mengandungi biji benih yang berbentuk leper. Artikel subuh ini dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis tumbuhan yang sering pucuknya dijadikan makanan ulam untuk bacaan umum.
